Wednesday, January 9, 2013

Pengantin Al-Quds




“Sayang, tahu tak ikhwah gelarkan kita apa?”

“Erm.. Entahlaa. Mereka gelarkan kita apa?”

“Pengantin al-Quds”

*******

Hujung minggu lalu aku diuji Tuhan. Nikmat kereta yang selama ini dianugerahi ditarik semula apabila brek kereta gagal berfungsi. Kereta tersadai di tepi jalan. Alternatif yang ada cuma satu. Public transport.

Untuk aku yang sudah lama berkenderaan sendiri, ujian ini adalah ujian yang maha dahsyat.

Namun, fatrah peperiksaan tidak mengizinkan aku berlama-lama di rumah. Akhirnya aku paksakan langkahan kakiku pulang ke kolej menaiki kenderaan awam. Dari Shah Alam ke Gombak.

Sebelum keluar rumah, aku capai satu buku sebagai peneman sepanjang perjalanan. Terima kasih Ya Allah kerana memimpin tanganku mencapai buku yang TEPAT.

Sebuah Berkas Kisah untuk Palestina. Pengantin-Pengantin Al-Quds.



Buku ini adalah himpunan kisah-kisah pejuang. Kesemuanya dua puluh kisah. Temanya satu. PALESTINA.

Selepas habis satu kisah, aku sambung kisah yang seterusnya. Sehingga tamat perjalananku hari ini.

Lalu, aku cuba memposisikan diri aku pada salah satu watak yang terdapat dalam buku.

Tapi. Hampa. Kecewa. Tak satu pun serupa denganku. Hampir serupa pun tak ada. Malah sangat jauh berbeza.

Ya. Watak wanita baru menikah itu ada. Tapi bila dibandingkan perwatakannya, Allah.. Jauh sama sekali. Aku tak layak. Dia merelakan suaminya pergi berjuang usai majlis pernikahan mereka. Kesudahannya, dia menyaksikan sendiri suaminya gugur syahid dalam perjalanannya ke hospital setelah ditembak tentera Israel.

Apatah lagi dengan watak seorang kanak-kanak berumur 10 tahun, yang selalu bersemangat meski ayahnya dipenjara. Cerdas dan pintar. Sudah khatam menghafaz 30 juzu’. Dan sering merindui sahabat-sahabatnya yang telah syahid. Watak ini, ribuan kali ganda berbeza denganku.

Lalu, watak apa yang pantas untukku?

Kecewa.

Namun, kekecewaan ini memacu kembali semangatku. Semangat untuk terus berjuang atas kapasiti yang aku genggami hari ini. Cemerlang dalam bidangku. Dan membantu sekadar mampu.

Kerana aku percaya pejuang al-Quds itu terdiri daripada mereka yang berada di bumi Palestin dan di sekitarnya.


Rasulullah s.a.w. bersabda, mafhumnya:

“Akan sentiasa ada wujud sekumpulan dari umatku yang terus menegakkan kebenaran dan tegas mendepani musuh. Tidak memudaratkan perjuangan mereka walau dipinggirkan dan dirintangi kesusahan kecuali ujian (Ilahi) sehinggalah datang ketentuan Allah. Mereka akan tetap sedemikian.”

Sahabat bertanya, “Di mana mereka itu, ya Rasulullah?”

Baginda s.a.w. lalu menjawab:

“Mereka berada di Baitulmaqdis dan di kawasan sekitarnya.”



Zionis laknatullah bisa melenyapkan segala yang kami miliki. Tapi mereka takkan pernah berjaya melenyapkan kepercayaan dan semangat jihad kami.

Anak-anak kecil Palestin bukan sekadar kehilangan barangan permainan dan peralatan sekolah. Tetapi mereka kehilangan ibu dan ayah. Kasih dan sayang. Juga sahabat handai dan teman sepermainan. Nilaian yang tak terbandingkan dengan nilai sebuah kenderaan.


“Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?”
(ar-Rahman)




Masih layakkah aku dipanggil Pengantin al-Quds?

8 Jan 2013.


1 comment:

Dita Khocan said...

saya copas gambar buku pengantin al quds nya.. terima kasih..