Mahar 40USD
Baru-baru ni kita telah digemparkan dengan satu
berita. Yup. Tawaran untuk menikahi gadis-gadis Syria dengan mahar bernilai
40USD. Atas alasan membantu mereka. Al maklum, negara Syria sedang bergolak.
Tentang Bashar Assad si kuku besi. Tentang puak Syiah yang memusuhi saudara
mereka sendiri, ahli Sunni.
Kekejaman terus-terusan berlarutan. Tapi dunia ini
senyap seribu bahasa. Seolah-olah tiada apa yang berlaku. Entah ke mana
perginya PBB dan pejuang-pejuang hak asasi kemanusiaan. Tak siapa berani
menentang melainkan segelintir cuma.
Paling menyedihkan, puak ini mengaku diri mereka sebagai
muslim, tetapi memusuhi saudaranya sendiri. Ahh. Aku tidak sepatutnya menggelar
mereka sebagai muslim. Puak ini telah melakukan kezaliman terhadap saudaranya.
Membunuh. Merogol. Menyiksa. Pelbagai layanan yang tidak selayaknya diberikan
kepada manusia. Kerana, sesama manusia, darahnya diharamkan oleh Allah. Haram
dalam erti kata, kita haram membunuhnya, haram mengambil hartanya, haram menyakitinya.
Akan tetapi, atas kefahaman puak ini, dihalalkan
segala kezaliman tersebut dan perkara ini berterusan sehingga hari ini.
Kalau kita lihat isu Palestin, isu Palestin hari ini
adalah satu isu yang popular dalam mata
masyarakat dunia, tetapi lain keadaannya dengan isu Syria. Kezaliman yang
sama telah berlaku. Tetapi dunia hanya memandang sepi. Menutup mata dan
memekakkan telinga. Mengelak dari membincangan hal ini. Padahal tahap
keseriusan kedua-dua isu ini adalah setara.
Paling menyedihkan, ada juga golongan yang cuba
mengalihkan pandangan mereka-mereka yang kurang peka tentang isu Syria ini
sehingga isu ini disalah erti.
Ya. Aku merujuk tentang tawaran menikahi gadis-gadis
Syria dengan mahar 40USD atas alasan menyelamatkan mereka daripada penindasan
puak Syiah.
Menurut aku, tawaran ini, pertamanya, telah
merendahkan martabat wanita. Keduanya, senang-senang mereka menggunakan nama
‘Ikhwanul Muslimin Mesir’. Allahu. Aku cuba membaca buku-buku IM. Dan
menurutku, tawaran sebegini tidak akan terlintas oleh IM meski alasannya tampak
munasabah.
Dan, daripada isu ini juga, aku terlihat satu perkara.
Tentang mahar.
Mahar yang rendah pastinya memudahkan. Apatah lagi
hidup di bumi Malaysia yang menuntut kos kehidupan yang sangat tinggi. Baru
keluar universiti sudah menanggung hutang yang berpuluh ribu. Nak kahwin,
keluarga perempuan pula menetapkan mas kahwin yang tinggi. Dengan pengalaman kerjaya yang sifar, kemudian memasuki alam pekerjaan, manalah kaum Adam ini mampu untuk
menghadapinya sendirian.
Justeru, bila tawaran ini datang, ianya seolah-olah
satu hadiah mahal yang dikurnia tuhan dari langit. Gadis Syria. Berkulit cerah.
Menghafaz quran. Mujahidah. Mereka ini sangat memerlukan perlindungan. Jikalau
ada mana-mana lelaki yang tampil menyelamatkan, pastilah lelaki tersebut
dinobatkan sebagai seorang HERO penyelamat maruah gadis yang tidak berdaya.
Wah. Class gitu. Macho agaknya.
Lalu, aku melihat kaum Adam yang bermimpi untuk
menyahut seruan tersebut berkata begini:
“Hidung tak mancung. Letak mas kahwin tinggi-tinggi.
Baik aku ambil perempuan Syria. Putih melepak. 40USD dah boleh dapat.”
“Terhegeh-hegehlah perempuan melayu lepas ni. Tulah.
Sape suruh letak mas kahwin berpuluh ribu.”
Hehe. Melihatkan perkara ini, aku jadi gelak sendiri.
Ada hati jejaka malaya ini beristerikan gadis Syria?
Aku bukan memandang rendah. Tapi, mereka-mereka ini,
bila berita mengenai kekejaman tentera Hizbullah disiarkan, pandang sebelah
mata. Diam seribu bahasa. Tapi, bila tawaran 40USD datang, dialah yang paling
lantang menyahutnya. Kamu ini lelaki seperti apa?
Ok lah. Isu tu, kita berhenti di sini saja. Berbalik
kepada isu mahar yang tinggi tadi.
Kita maklum, tentang mas kahwin yang tinggi tu,
hanyalah isu adat orang melayu. Berbeza dengan Islam, Islam menyarankan kita
merendahkan maharnya.
Tapi, itulah. Manusia. Takut untuk menyalahi adat.
Takut berhadapan kata-kata orang. Bila kita mengkhabarkan berita tentang
perkahwinan, soalan yang makcik-makcik kita akan tanya adalah:
“Wang hantaran dah tetapkan ke? Berapa?”
“Mestilah kene tengok tahap pendidikan. Kau tu ada
Degree. Kalau ada degree, paling kurang RM15 000.”
Entahlah. Kadang-kadang tak faham juga. Apa pentingnya makcik-makcik tersebut
mengetahui nilai hantaran? Bukan mereka yang dapat duit tu.
Aku terjumpa basic rate untuk nilai hantaran yang
dinilaikan berdasarkan tahap pendidikan pengantin perempuan.
UPSR/PMR/SRP: RM 1 000 – RM 3 000
SPM: RM 3 000 – RM 8 000
STPM/Diploma: RM 8 000 – RM 12 000
Degree: RM 12 000 – RM 15 000
2nd Degree/Master: RM 15 000 – RM 20 000
PHD: RM 20 000 – RM 30 000
Peh! Begitu sekali manusia meletakkan nilai bagi
hantaran.
Bagi yang mampu, aku sedikit pun tidak membantah.
Silakan beri apa pun nilainya. Tapi, bagi yang kurang mampu, janganlah
dipaksakan. Nanti diri sendiri yang merana. Takut-takut nanti perkara ini diungkit-ungkit
lepas berkahwin.
Aku juga mendengar rintihan segelintir sahabatku yang
bakal menikah.
“Makcik-makcik kita semua kate kene letak atas RM 10
000. Sebab kita ade Degree Law. Tapi kita tak susahkan tunang kita. Dia sendiri
pun baru habis belajar. Dah la anak sulung. Adik-adik dia ramai lagi yang perlu
ditanggung.”
Hmm. Begitulah kisahnya. Hendak dilanggar adat, takut
dicaci saudara mara. Yalah. Perasaan mereka
juga perlu diambil kira. Mereka tu keluarga kita. Tapi, bila diikutkan adat, menyusahkan
bakal suami sendiri yang kita terpaksa hidup dengannya seumur hidup.
Menyusahkan keluarganya yang bakal menjadi keluarga kita juga akhirnya.
Itulah dia. Perkara yang selalu menjadi dilema bakal pengantin
yang sepatutnya bahagia menjelang hari perkahwinannya.
Dan buat para daie, ini lah kenyataannya. Masyarakat
kita belum bersedia mengutamakan syariat demi adat. Masyarakat kita lebih
mengutamakan kata-kata manusia berbanding sabda nabi. Mungkin, dalam kelompok
masyarakat ini, terdapat juga ahli keluarga kita? Allahu a’lam.
Aku akui, perkara ini memang berat. Tapi, begitu sabda
nabi,
“Akan tiba suatu masa pada manusia, dimana orang yang
bersabar di antara mereka dalam memegang agamanya, ibarat orang yang
menggenggam bara api.” (HR At-Tirmidzi)
Perlu sedikit mujahadah dan keberanian. Keberanian
untuk menyatakan prinsip. Untuk mengetengahkan saranan Islam. Aku percaya,
saranan ini lambat laun akan diterima pakai. Tapi… Yalah. Perlu mujahadah
sikitlah.
Islam itu agama fitrah. Dan urusan yang mudah itu
adalah fitrah yang menyenangi manusia.
"Wanita yang paling besar barakahnya adalah yang
paling ringan Maharnya" (HR Ahmad, Al-Hakim, dan Al-Baihaqi dengan sanad
Sahih)
"Sebaik-baik wanita adalah yang paling ringan
mas-kahwinnya" (HR Ath-Thabrani)
*tentang Syria, sila lawati IKRAM 4 Syria